Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kuning merupakan sebuah sekolah yang telah melahirkan ramai pelajar dengan prestasi yang cemerlang. Tambahan lagi, kawasan persekitaran sekolah ini juga sangat kondusif untuk pembelajaran para pelajar. Oleh sebab itu, ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini.
“Baiklah murid-murid, hari ini kita mempunyai seorang pelajar pertukaran dari SMK Jambu Batu. Mulai hari ini dia akan mula belajar dengan kita semua.” ucap Puan Rabiah selaku guru kelas 4-B.
“Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Nama saya Muhd Saifuddin bin Solehuddin. Awak semua boleh pangggil saya Saif. Selamat berkenalan.” Saif memperkenalkan dirinya.
"Untuk makluman kamu semua Saif baharu sahaja berpindah ke kawasan ini dan ayahnya merupakan ketua pegawai polis baharu di kawasan ini. Saya mengharapkan yang terbaik dari awak semua untuk membantu Saif dalam membiasakan dirinya.” ucap Puan Rabiah.
“Saif, awak boleh duduk disebelah Hajar.” Tunjuk Puan Rabiah ke arah satu-satunya tempat yang kosong di dalam kelas tersebut.
Saif berjalan sambil membawa begnya ke tempat yang ditunjukkan oleh Puan Rabiah.
“Apa khabar? Nama saya Hajar, Siti Hajar Binti Mohd Ariffin.” Sapa Hajar sambil mengukir senyuman yang manis.
“Hajar, boleh kamu tolong tunjukkan Saif kawasan sekolah semasa rehat nanti?” Tanya Puan Rabiah sebelum memulakan sesi pembelajaran pada hari itu.
“Insya-Allah cikgu.” Jawab Hajar dengan penuh sopan.
Deringan loceng yang menandakan waktu rehat, bergema di seluruh sekolah. Koridor kelas yang kosong sebentar tadi, mulai penuh dengan pelajar yang berpusu-pusu untuk ke kantin. Hajar segera menyapa Saif sejurus loceng berhenti berbunyi.
“Saif mari saya tunjukkan awak sekitar kawasan sekolah ini.” Pelawa Hajar. Tanpa melengahkan masa, mereka berdua terus keluar dari kelas tersebut.
Hajar mengambil keputusan untuk menggunakan lorong yang tidak dipenuhi pelajar yang ingin ke kantin. “Untuk pengetahuan awak, kantin berada diarah bertentangan dengan arah yang kita gunakan ini.” Terang Hajar apabila dia melihat riak muka Saif yang kelihatan terpinga-pinga.
"Berapa ramai pelajar di sekolah ini?” Tanya Saif lagi.
“Emm… hampir 2000 orang.” Jawab Hajar ringkas.
“2000 orang?! Ramainya!” Saif amat terkejut apabila dia mendengar angka tersebut kerana di sekolahnya dahulu hanya terdapat lebih kurang 550 orang pelajar. Itupun telah mempunyai banyak masalah disiplin.
“Untuk pengetahuan awak, sekolah ini merupakan sekolah terbesar di kawasan ini. Bahkan prestasi sekolah ini juga memberangsangkan. Jadi tidak hairanlah jika ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk bersekolah disini.” Tambah Hajar lagi.
Sedang Hajar membawa Saif melawat sekitar kawasan sekolah, Saif teringat perbualan antara dia dengan ayahnya semalam.
“Kenapa ayah nak hantar Saif ke SMK Batu Kuning, sedangkan rumah kita bersebelahan dengan SMK Gunung Timbul?” Soal Saif terhadap tindakan ayahnya itu.
“Sekolah tersebut jauh lebih bagus daripada sekolah di sebelah rumah kita ini. Tambahan lagi, ayah dapat rasakan Saif akan menyukai sekolah tersebut.” Riak muka ayahnya jelas menunjukkan yang ada udang dusebalik batu.
“Hmm… kenapa ayah kata aku akan menyukai sekolah ini?” getus hati Saif.
“Saif, mari saya tunjukkan awak bilik guru pula.” ajak Hajar.
Ajakan Hajar telah mengembalikan Saif dari lamunannya. Saif mengikut sahaja Hajar hingga ke bilik guru tanpa mengetahui sesuatu yang besar akan berlaku. Sesuatu yang akan membuatkan Saif lebih menyukai sekolah tersebut.
No comments:
Post a Comment